Inspirasi Qaseh Kami : Rasa dihargai Agensi Agama – Mualaf

Kuala Lumpur, 17 Februari : “Menjalani kehidupan sebagai mualaf menuntut kekuatan jiwa dan iman yang sangat tinggi, apatah lagi saya seorang sahaja dalam keluarga yang memeluk Islam.”

Kata, Muhammad Syafie Liaw Abdullah, 52, mualaf yang berasal dari Jinjang Utara, di sini, berhubung penghijrahan terbesar dilakukannya pada 2018 apabila memilih Islam sebagai jalan hidup.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, dia mula mendalami Islam beberapa bulan sebelum kembali kepada fitrah apabila hatinya tergerak untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW itu.

Katanya, selepas memaklumkan kepada keluarga dan anak-anaknya mengenai penghijrahan yang hendak dilakukan beliau tidak mempunyai halangan untuk menjadi mualaf dan kini bersyukur kerana dirinya dipilih oleh Allah SWT untuk menerima sinar Islam.

“Saya bersyukur serta berasa dihargai kerana banyak bantuan Agensi Agama di negara ini yang diterima sepanjang tiga tahun memeluk Islam termasuk bantuan bulanan Zakat.

“Selain itu saya juga turut dibimbing dengan kelas pengajian al-Quran serta pembelajaran mengenai Islam di Selayang, Selangor,” katanya selepas menerima bantuan sumbangan foodbank YaPEIM di Masjid As Syafeii Taman Maluri, di sini hari ini.

Muhammad Syafie Liaw antara 100 mualaf yang disantuni YaPEIM apabila menerima sumbangan makanan kering seperti beras, minyak masak dan makanan asas lain yang disampaikan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Untuk rekod sejak Program Foodbank YaPEIM diperkenalkan pada September 2019 hingga 11 Februari 2021 sejumlah RM14.4 juta agihan sumbangan telah dibuat yang memberi manfaat kepada 787,598 orang penerima manfaat di seluruh negara. Pada tahun 2021 ini agihan sumbangan yang telah dikeluarkan adalah berjumlah RM1.5 juta dengan penerima manfaat seramai 89,729 orang.