Inspirasi Qaseh Kami : “Anak-anak sumber kekuatan saya”

Seri Iskandar, 11 Februari : Hampir setahun kehilangan suami tercinta dalam kemalangan yang turut meragut dua nyawa lain termasuk ibu dan anaknya.

“Benar, bukan mudah untuk meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tiga anak saya selepas ketiadaan suami.

“Lagi pula, saya turut menjaga bapa yang kini terlantar uzur akibat serangan angin ahmar, namun hidup tetap diteruskan kerana bagi saya kekuatan sebenar saya kini pada anak-anak,” kata Nor Iashah Abd Rani, 33.

Menceritakan kembali nahas yang menimpa dirinya dan keluarga pada Mac tahun lalu, Iashah bagaikan tidak percaya segalanya berlaku sekelip mata namun tetap redha dengan pemergian insan tersayang.

“Terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan pihak YaPEIM, setidaknya sumbangan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung,” katanya.

Skuad Qaseh YaPEIM menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami menyantuni kediaman Iashah dan turut menyampaikan bantuan bulanan kepadanya yang disampaikan sendiri Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan.

Setiap tiga anak Iashah masing-masing menerima bantuan wang tunai bernilai RM200 setiap seorang menjadikan jumlah yang diterima Iashah setiap bulan RM600 selama setahun menerusi program Sinar Kasih.

“Terima kasih YaPEIM atas sumbangan ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Hadir sama, Pengarah Kanan di Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Operasi YaPEIM, Zamri Zakaria dan Pengurus Besar di Pejabat Pengarah Pengurusan Strategik YaPEIM, Sabariah Zainal Abidin.