Ibu Tunggal Syukur Terima Manfaat Inspirasku My H.A.U.S

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itu yang boleh disimpulkan terhadap kehidupan keluarga Rashidah Semail, 48, selepas kematian suaminya pada Mac lalu akibat serangan jantung.

Rashidah yang menetap di rumahnya di Kampung Parang Puting, Batu 6 Setengah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta upah menjahit bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama lapan anaknya.

Bagaimanapun sinar kehidupannya mula memancarkan cahaya apabila rumahnya kini sudah dibaik pulih selepas terpilih dalam Program Inspirasiku MY H.A.U.S di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), baru-baru ini.

Bagi ibu tunggal itu, tiada kata dapat menggantikan kegembiraan dirinya apabila rumahnya yang sebelum ini berkeadaan uzur sudah disiapkan selain menerima beberapa manfaat lain di bawah program itu.

“Rasa syukur dan gembira tidak dapat diungkap dengan kata-kata dan hanya mampu berterima kasih kepada YaPEIM kerana memberi nafas baru pada kediaman saya dan anak-anak.

“Bukan sahaja nak memasak pun lebih selesa, malah YaPEIM turut membuat penambahan bilik sekaligus menjadikan kehidupan kami lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, demikian selepas majlis penyerahan kunci yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Tuan Haji Ahmad Marzuk Shaary.

Rashidah berkata, dia sebelum ini mengharapkan upah menjahit dan bantuan JKM sahaja untuk meneruskan kehidupan serta membesarkan anak-anak.

“Anak kedua saya juga sudah kerja dan dia juga ada bantu keluarga,” katanya yang berasal dari Machang, Kelantan.

Sebelum ini rumah Rashidah terpilih dalam Program Inspirasiku MY H.A.U.S di bawah YaPEIM dan turut dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 September lalu.

Untuk rekod Program Inspirasiku MY H.A.U.S di bawah kelolaan YaPEIM ini menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan tujuh teras sokongan merangkumi tempat tinggal, kelestarian kehidupan, latihan kemahiran, transformasi kerjaya, inspirasi pendidikan anak-anak, pembangunan sahsiah diri dan apresiasi.

Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR), Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), TV AlHijrah, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Alliance Islamic Bank dan rakan-rakan strategik lain.

Sementara itu Rashidah berkata, dia turut bersyukur apabila keperluan menjahit di rumahnya turut mendapat perhatian pihak pelaksana yang menyatakan kesudian untuk membantu dari segi sumbangan mesin jahit.

“Mereka maklum ada bantuan mesin jahit dan keperluan menjahit juga dihulurkan dalam program ini. Alhamdulillah rezeki saya dan anak-anak,” katanya.

Beliau berharap bantuan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang termasuk keperluan pendidikan lima anaknya yang masih di bangku sekolah.

Ketika ditanya mengenai program MY H.A.U.S oleh para petugas media yang hadir, Ahmad Marzuk memaklumkan program kali ini merupakan projek perintis di Kelantan dan akan dilebar luaskan di daerah lagi mengikut kesesuaian.

“Ini adalah usaha yang dijalankan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya YaPEIM dalam mencapai komitmen menyantuni golongan kurang berkemampuan,” katanya.