Emas memang dekat di hati saya – Datuk Seri Siti Nurhaliza

Kuala Lumpur, 7 April : Penyanyi nombor 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengakui dirinya merupakan peminat emas dan menjadikannya sebagai hobi selain dijadikan simpanan.

“Emas memang dekat dengan diri saya, malah emas menjadi antara koleksi kegemaran saya selain sesuai dijadikan aset peribadi,” katanya ketika hadir pada majlis pelancaran Wafer dan Dinar Emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Edisi Khas Jubli Siti 25 di Restoran Moza, Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini.

“Saya sendiri menyimpan dinar emas, wafer emas untuk jangka panjang.

“Jual beli emas boleh digunakan untuk dalam situasi kecemasan selain boleh dijual balik dengan cara yang mudah selain melihat produk keluaran Edisi Khas kali ini khas untuk peminat yang sentiasa menyokong Siti selama berada di dalam industri sekaligus menjadi satu simpanan istimewa buat mereka,” katanya.

Turut menemaninya, suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selain turut diiringi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan dan barisan kepemimpinan tertinggi YaPEIM.

Parihah berkata edisi khas Jubli Siti Nurhaliza 25 tahun ini bermula hasil pertemuan dan perbincangan bersama Siti Nurhaliza dan suaminya.

Wafer gram edisi khas 1 gram dijual dengan harga RM360 manakala bagi edisi khas dinar 4.25 gram pula dijual dengan harga RM1,350.

Peminat Siti Nurhaliza boleh mendapatkan produk edisi khas ini di aplikasi digital YaPEIM (DiYA) selain di YaPEIM Gold Nu Sentral dan YaPEIM Gold Bandar Tun Razak.