Dana Inspirasiku YaPEIM terima sambutan luar jangka

PUTRAJAYA: Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) yang diwujudkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah B40 menerima sambutan di luar jangkaan apabila permohonan diterima melebihi sasaran 40,000 orang.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan, berkata borang permohonan bagi pelajar sekolah sudah diedarkan di semua 203 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di seluruh negara serta boleh diisi melalui laman web http://www.yapeim.my/ sejak awal Januari dan akan ditutup pada 31 Januari ini.

“Selepas tarikh itu, kita akan proses permohonan mengikut kriteria yang telah ditetapkan dan keputusan akan diumumkan secara berperingkat bermula 15 Mac,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Parihah berkata Dana Inspirasiku memperuntukkan sehingga RM500 kepada pelajar sekolah dan sehingga RM1,000 untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai bantuan memulakan pengajian.

Katanya, borang permohonan bagi pelajar IPT pula hanya akan diedarkan sebelum proses kemasukan ke semester baru pengajian pada sesi 2020/2021.

Parihah berkata, warganegara Malaysia dari kalangan B40 layak untuk memohon Dana Inspirasiku tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Katanya, YaPEIM menyasarkan mengutip sebanyak RM40 juta untuk Dana Inspirasiku melalui sumbangan syarikat korporat dan orang ramai, selain YaPEIM turut membuat sumbangan awal sebanyak RM1 juta.

“YaPEIM adalah sebuah yayasan yang membiayai kewangan sendiri dengan objektif untuk membangunkan sosioekonomi ummah, jadi selain melalui perniagaan YaPEIM sendiri, kita juga mendapat dana melalui sumbangan orang ramai.

“Untuk Dana Inspirasiku, selain sumbangan daripada masyarakat pihak yang prihatin, kita juga sedang giat mendapatkan kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat dengan kebanyakannya telah bersetuju untuk membantu,” katanya.

Parihah berkata, setiap sumbangan yang disalurkan kepada dana berkenaan akan dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan dan Pelajaran YaPEIM, selain penyumbang layak mendapat pengecualian cukai pendapatan.–BERNAMA