Bantuan kepada Masjid Kariah Kampung Kuala Sawah akan diteliti – Dr Zulkifli

Rantau, 5 November – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya akan mempertimbangkan keperluan utama untuk menghulurkan bantuan kepada Masjid Kariah Kampung Kuala Sawah, di sini, yang terjejas akibat banjir.

Katanya, beliau dimaklumkan anggaran kerugian masjid kira-kira RM40,000 termasuk peralatan dan permaidani masjid yang rosak akibat ditenggelami air.

“Kita akan teliti keperluan dan kepentingan yang paling utama sebelum hulur bantuan. Saya juga menunggu pembentangan bajet pada esok untuk memudahkan kita menyelaraskan peruntukan untuk diagihkan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media, hari ini, selepas melakukan lawatan ke Masjid Kariah Kampung Kuala Sawah, di sini yang terjejas akibat banjir.

Dalam kejadian banjir kilat semalam, masjid berkenaan ditenggelami air setinggi satu meter selain beberapa perumahan penduduk turut terjejas.

Sementara itu, Dr Zulkifli turut mengagihkan 200 pek sumbangan bantuan barangan keperluan asas dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Sumbangan berupa beras dan barangan makanan lain diagihkan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir.

Program serahan sumbangan turut dihadiri Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan barisan pengurusan YaPEIM.