Ar Rahnu YaPEIM Online Permudah Pembayaran Pembiayaan, Upah Simpan

Petaling Jaya, 9 November – Ar Rahnu YaPEIM (ARY) hari ini memperkenalkan sistem atas talian iaitu ‘Ar Rahnu YaPEIM Online’ yang mana ia merupakan perkhidmatan yang menawarkan kemudahan pembayaran secara atas talian bagi jumlah pembiayaan dan upah simpan.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, Ar Rahnu YaPEIM Online bertujuan memudahkan pelanggan untuk membuat aktiviti pembayaran tanpa sentuh yang mana perkhidmatan ini hanya mengenakan caj perkhidmatan serendah RM1.50 untuk setiap transaksi pembayaran.

“YaPEIM dan ARY sentiasa komited memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan yang melaksanakan transaksi gadaian di semua cawangan dengan menawarkan kemudahan perkhidmatan ini.

“Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak 18 Mac lalu hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19 hingga ke hari ini, kaedah pembayaran secara atas talian merupakan suatu keperluan yang mendesak. Oleh itu sistem yang diperkenalkan ARY ini tepat pada masanya dan dapat memberi manfaat kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Cabutan Kesetiaan Ar Rahnu YaPEIM kali kedua di Ibu Pejabat YaPEIM di Mentari Business Park, Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Parihah berkata, diharapkan penawaran perkhidmatan ini akan menjadi satu norma baharu kepada pelanggan ARY bagi urusan bayaran jumlah pembiayaan dan upah simpan secara ansuran.

Katanya, sokongan dan dokongan daripada para pelanggan yang setia bersama ARY sangat diperlukan dalam melebar luaskan perkhidmatan yang ditawarkan ini.

Mengulas mengenai Cabutan Kesetiaan Ar Rahnu YaPEIM kali kedua untuk tahun ini, katanya, setiap pemenang cabutan bertuah akan menerima wafer emas 1 gram keluaran YaPEIM Gold setiap seorang dan ianya boleh dituntut di cawangan ARY bermula 13 November sehingga 24 November 2020 ini.

“Penyertaan cabutan kesetiaan pada kali ini menerima penyertaan seramai 88,701 iaitu jumlah transaksi yang layak membabitkan jumlah keseluruhan transaksi berjumlah RM358,114,625.00. Ruang dan peluang untuk memenangi kempen ini masih terbuka sehingga 31 Disember 2020.

“Kempen yang bermula pada 01 Julai 2020 ini menawarkan hadiah lumayan berupa 576 keping bar emas bernilai RM200,000.00 yang bakal menanti para pelanggan bertuah ARY. Di samping itu juga cabutan kali ketiga bermula pada November 2020 hingga Disember 2020,” katanya.