Anak yatim, YaPEIM kongsi bahagia.

Petaling Jaya, 17 Oktober – Foodbank YaPEIM 2.0 meluaskan perkongsian rezeki dan kali ini, Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari menjadi lokasi pilihan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi tujuan itu.

“Sumbangan seumpama ini amat kami hargai malah menerusi bantuan Foodbank YaPEIM 2.0 ini sedikit sebanyak membantu pihak pengurusan pusat jagaan dalam mendidik dan melindungi anak-anak yatim.

“Semoga usaha murni ini dilaksanakan secara berterusan sekaligus dapat membantu lebih ramai masyarakat, ” kata Pengurus pusat jagaan berkenaan, Muhammad Dehya’ Mohd Gzahari.

“Harapan saya, bantuan ini (Foodbank YaPEIM) dapat diperluaskan lagi secara menyeluruh dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan pihak pengurusan YaPEIM dalam menyantuni golongan yang kurang bernasib baik,” tambahnya.

Penyerahan Foodbank YaPEIM 2.0 di pusat berkenaan antara usaha yang dilakukan dilakukan Pejabat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Selangor menerusi pengurusnya, Muhammad Fazli Suhailin serta pegawai dan kakitangan PPYN Selangor.

Sumbangan disempurnakan Parihah Hasan merangkap Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM dan majlis turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Romil Shamsuddin serta pengurusan tertinggi YaPEIM.