Nur Zuriani Mat Zain
Alamat : Kampung Seribong, Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan
Pencapaian : UPSR (5A), PMR (8A), SPM (12A1)
Cita-cita : Doktor

 

Ayah saya Mat Zain Mamat dan ibu, Milah Deris. Ayah bekerja sendiri manakala ibu suri rumah tangga. Saya anak ke 5 dari 8 adik-beradik. Sejak kecil saya bercita-cita menjadi doktor. Cikgu sering bertanyakan kenapa saya hendak menjadi doktor. Jawab saya: “Nak rawat orang sakit”. Itulah jawapan yang sering dari seorang budak yang baru setahun jagung. Impian itu mungkin terlalu tinggi ibarat langit dan bumi namun ia membakar semangat saya dari tadika hinggalah habis sekolah menengah. Bagi saya ilmu adalah sangat berharga kerana ia boleh meningkatkan maruah seorang insan bernama manusia.

Hasilnya, saya berjaya memperolehi 5A dalam UPSR, 8A dalam PMR dan 12 A1 dalam SPM. Betapa bangganya ibu, ayah dan guru-guru. Tetapi itu bukanlah satu titik noktah bagi perjuangan ini. Saya berpegang kepada satu kata-kata hikmah iaitu ‘Setiap penamat adalah satu permulaan yang baru’. Kejayaan buat masa sekarang bukanlah satu tiket untuk saya membangga diri apatah lagi mendabik dada. Di luar sana, perjalanan masih panjang. Bukan sekadar panjang tapi berliku penuh cabaran dan dugaan sejajar dengan arus permodenan dunia.

Selepas bersusah payah memohon dan menghadiri temuduga akhirnya saya diterima untuk mengikuti program Australia Matriculation sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar New Zealand dalam bidang perubatan. Syukur Alhamdulillah! Pada mulanya, saya agak takut untuk menerima tawaran itu kerana banyak mendengar cerita kononnya program ini paling susah di antara program A-level yang lain. Tapi, saya percaya kepada takdir Allah. Allah telah menentukan itu adalah rezeki dan saya percaya berkat doa daripada ibu bapa, saya boleh melakukannya.

Kini, saya berada di INTEC selepas mendaftar diri pada 01Julai 2007. Saya masih ingat, pertama kali saya di sini, pihak JPA iaitu penaia biasiswa mengatakan Kecemerlangan SPM akan berakhir di sini. Saya faham dan tahu betapa kata-kata itu sangat tepat. Kehidupan seorang pelajar di sini sangatlah berbeza dengan kehidupan di alam persekolahan. Semua benda harus dibuat sendiri. Tiada lagi bantuan dari ibu dan ayah. Baru saya sedar betapa bertuahnya saya dibesarkan oleh ibu dan ayah.

Sepanjang berada di INTEC, banyak benda baru yang saya belajar setiap hari. Malah ada yang tidak pernah saya terfikir. Mengenal erti kesusahan penat lelah dan berdikari adalah makanan wajib saya di sini. Kata orang bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Saya sangat bersyukur, walaupun sukar saya tetap mampu lalui dengan hati yang tenang walaupun kadangkala terasa juga tekanan yang hampir melunturkan semangat ini.

Selepas beberapa bulan di sini, saya telah menerima surat dari YaPEIM yang mengatakan saya telah diterima sebagai peserta SANTUN 2007. Bantuan daripada YaPEIM sedikit sebanyak telah meringankan beban kewangan saya.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu, ayah, abang-abang dan adik-adik, guru-guru SK Seribong dan SMK Zainab (1) di Kota Bharu. kawan-kawan di luar sana, pihak penaja, INTEC, pihak YaPEIM dan semua rakyat Malaysia. Doakan saya lulus dengan cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran ke New Zealand kerana ‘Aku Ingin Terbang Tinggi.