Akhlak Terpuji Pikat Masyarakat Orang Asli

Ketika dalam perjalanan ke perkampungan Orang Asli Makmur, Ulu Kinta, Perak dari ibu negara baru-baru ini penulis merasakan demografi beragama di kawasan itu tentulah berkeadaan majmuk yang mana terdiri daripada masyarakat Islam, Kristian, agama nenek moyang serta tidak beragama.

Namun sebaik menjejakkan kaki ke kawasan perkampungan berkenaan ternyata tanggapan penulis meleset, kerana rata-rata masyarakat di perkampungan itu sebahagiannya beragama Islam dan ada di antara mereka masih mengekalkan ajaran yang diwarisi daripada nenek moyang.

Dengan Suku kaum Semai dan Temiar yang menguasai populasi masyarakat Orang Asli di Kampung Makmur khususnya dan mukim Ulu Kinta amnya menjadikan mereka suku kaum yang sering mendapat perhatian dari penduduk setempat mahupun Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA), Kinta.

Kehadiran penulis ke perkampungan Makmur sudah tentu mempunyai tujuan tersendiri apabila penulis selaku kakitangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membawa amanah bersama pihak pengurusan dan rakan kakitangan yang lain untuk menyampaikan sumbangan.

Apa yang menarik, kehadiran kami pada 12 Ogos 2020 itu bukan sahaja untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk di perkampungan itu, malah kami turut menjadi saksi kepada 60 masyarakat Orang Asli yang kembali kepada fitrah dengan mengucap dua kalimah Syahadah.

Lebih manis kesemua mereka melafazkan Syahadah di hadapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hadir menyempurnakan majlis tersebut.

Sebaik selesai majlis, penulis berkesempatan bertemu dan berbual dengan Samad Mat Noor, 33, mualaf dari perkampungan itu yang berkongsi bagaimana dia mula tertarik dengan Islam.

Katanya, ramai di kalangan rakannya beragama Islam dan dia senang bergaul mesra dengan mereka dalam kehidupan seharian.

Pemuda berambut kerinting itu memberitahu, akhlak yang ditunjukkan rakannya serta gaya hidup Islam sebenar diterapkan dalam kehidupan seharian membuatkannya tertarik untuk memeluk Islam.

“Dari situ saya banyak mempelajari cara hidup orang Islam dan akhlak yang mereka tunjukkan. Antaranya adab ketika makan, ketika bergaul hingga kepada aktiviti kerohanian yang mereka lakukan.

“Itu yang membuatkan saya tertarik dengan agama ini dan buat keputusan untuk mengucap dua kalimah Syahadah,” katanya.

Samad turut berkongsi bagaimana dia memberanikan diri menyatakan hasrat memeluk Islam kepada keluarganya yang mana akhirnya ia diterima baik.

Dia memaklumkan dengan restu keluarga akhirnya dia mendaftarkan diri secara rasmi di Jabatan Agama Islam Ipoh selepas mengambil masa setahun untuk memeluk Islam.

Pemuda dari suku kaum Temiar itu tidak menyangka majlis melafazkan dua kalimah Syahadah itu akan dihadiri Dr Zulkifli sendiri yang disifatkannya sebagai ‘Orang Besar’ di negara ini.

“Saya akan ingat pesan beliau (Dr Zulkifli) yang meminta kami untuk jaga solat serta terus belaja mengenai Islam. Beliau juga pesan selepas selesai mengucap dua kalimah Syahadah kami boleh mandi sunat,” katanya.

Kehadiran kakitangan YaPEIM ibarat ‘Orang mengantuk disorongkan bantal’ buat mereka apabila sumbangan barangan keperluan asas menerusi program Food Bank YaPEIM 2.0 amat ditunggu.

Rata-rata mereka yang menerima bantuan menzahirkan rasa syukur dan berharap bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gula itu diteruskan dari semasa ke semasa.

Menurut Batin Kampung Orang Asli Makmur, Amir Pandak, bantuan keperluan asas seperti dibawa YaPEIM ke perkampungan mereka diibaratkan satu rahmat kerana ada dikalangan penduduk yang hidup dalam kemiskinan.

“Saya bersyukur dengan pemberian barangan keperluan asas ini kerana kami memang tunggu bantuan seperti ini,” katanya yang berharap bantuan kemudahan asas lain dapat dihulurkan pada masa akan datang.

Dengan memiliki dewan serbaguna serta surau yang sudah disiapkan, Amir memberitahu ia akan memudahkan perjalanan aktiviti keagamaan dan dakwah di kawasan perkampungannya.

Apa yang boleh penulis simpulkan hasil daripada program yang dianjurkan baru-baru ini, jelas bahawa akhlak terpuji serta gaya hidup seharian ditunjukkan masyarakat Islam memainkan peranan yang cukup kuat dalam menarik orang bukan Islam untuk menerima agama yang dibawa Rasulullah SAW sejak ribuan tahun dahulu.

Insya-Allah dengan adanya pelbagai institusi dakwah di negara kita dan Jabatan Agama Islam negeri yang memainkan peranan masing-masing lebih ramai yang akan kembali kepada fitrah.