Ar Rahnu YaPEIM Online Langkah Permulaan Ke Arah Pendigitalan Holistik

Harus diakui era teknologi maklumat dan pendigitalan banyak memberi impak besar dalam kehidupan masyarakat, baik dari segi pendidikan, sosial, ekonomi, politik mahupun komunikasi sejagat.

Perubahan ke arah dunia tanpa sempadan ini mula kelihatan sejak awal 90-an lagi apabila banyak negara di dunia mula menumpukan kepada penggunaan komputer dan Internet dalam menggerakkkan sesuatu urusan. Malah Internet adalah ‘kunci’ kepada anjakan yang cukup besar hingga merubah kepada segala sistem yang kita gunakan pada hari ini.

Kini banyak konglomerat, syarikat dan institusi yang ada di dunia pada masa kini sudah memberi fokus kepada pembangunan teknologi maklumat yang mana disifatkan sebagai ‘masa hadapan’ untuk menggerakkan pembangunan organisasi secara lebih holistik.

Tidak ketinggalan untuk Ar Rahnu YaPEIM yang juga institusi milik penuh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk turut terbabit dalam dunia teknologi maklumat atau pendigitalan secara lebih menyeluruh demi memastikan kelestarian perniagaan kekal utuh.

Baru-baru ini Ar Rahnu YaPEIM telah memperkenalkan sistem atas talian iaitu ‘Ar Rahnu YaPEIM Online’ yang mana ia merupakan perkhidmatan yang menawarkan kemudahan pembayaran secara atas talian bagi jumlah pembiayaan dan upah simpan.

Ia merupakan langkah yang kena pada masanya di mana dalam keadaan negara berdepan dengan Pandemik COVID-19 perkhidmatan ini dilancarkan bagi memudahkan kira-kira 740,000 pelanggan setia Ar Rahnu YaPEIM.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, Ar Rahnu YaPEIM Online bertujuan memudahkan pelanggan untuk membuat aktiviti pembayaran tanpa sentuh yang mana perkhidmatan ini hanya mengenakan caj perkhidmatan serendah RM1.50 untuk setiap transaksi pembayaran.

Katanya, sebagai promosi caj perkhidmatan ini tidak akan dikenakan kepada pelanggan sehingga 31 Disember ini bertujuan menggalakkan pelanggan untuk menggunakan perkhidamatan ini dengan lebih ramai.

“Ar Rahnu YaPEIM sentiasa komited memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan yang melaksanakan transaksi gadaian di semua cawangan dengan menawarkan kemudahan perkhidmatan ini. Kita harap pelanggan kita dapat memberi sokongan terhadap perkhidmatan baharu yang diperkenalkan ini.

“Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak 18 Mac lalu hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19 hingga ke hari ini, kaedah pembayaran secara atas talian merupakan suatu keperluan yang mendesak. Oleh itu sistem yang diperkenalkan ARY ini tepat pada masanya dan dapat memberi manfaat kepada pelanggan,” katanya.

Parihah turut optimis Ar Rahnu YaPEIM mampu mengikut arus perubahan dunia pendigitalan yang mana perkhidmatan Ar Rahnu YaPEIM online adalah pencetusnya sebelum lebih banyak lagi perkhidmatan pendigitalan lain diperkenalkan pada masa hadapan.

Beliau memaklumkan perkhidmatan terkini diperkenalkan itu bukan untuk sesuatu tempoh sebaliknya ia adalah permulaan buat Ar Rahnu YaPEIM untuk memperkasakan sistem atas talian.

“Kita akan teruskan dan tambah baik dari semasa ke semasa sistem yang kita perkenalkan ini,” katanya yang berharap matlamat itu mampu direalisasikan demi memastikan YaPEIM dan seluruh institusi milik penuh dan di bawah kawalannya kekal relevan.

Parihah percaya, usaha ke arah pendigitalan ini mampu menjadi usaha yang akan mensejahterakan banyak kelompok masyarakat yang mana pada suatu masa mungkin pembelian emas dan perkhidmatan penggadaian mampu dibuat secara atas talian.

Segala usaha yang digembeling kini harus dilakukan dengan penuh berstrategi selain memerlukan sokongan bukan sahaja segenap lapisan masyarakat malah warga kerja YaPEIM sendiri.