Pasir Puteh, 3 Mei 2026 – Seorang pengusaha perniagaan kuih menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan impiannya memiliki sebuah kediaman yang lebih selesa menerusi inisiatif Program Sinar Lestari YAPEIM.
Puan Siti Khadijah binti Zulkifli, 38, menerima sebuah rumah bina baharu bernilai RM80,000 dengan kerjasama rakan pelaksana Koperasi Al-Maa’uun Kelantan Berhad.
Kerja-kerja pembinaan rumah Puan Siti Khadijah ini mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan. Ia dimulakan sejak 10 Ogos 2025 serta siap sepenuhnya pada 2 November 2025. Pemilihan dan pengesahan penerima manfaat kategori eKasih ini telah dilakukan oleh Koperasi Al-Maa’uun .
Majlis serahan rumah kepada penerima telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan di kediaman Puan Siti Khadijah, Kampung Bukit Akar Danan, Pasir Puteh, Kelantan, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, YAPEIM akan mempertimbangkan sokongan Geran Keusahawanan sehingga RM5,000 dalam bentuk sokongan perniagaan kepada penerima manfaat.
YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan berharap program Sinar Lestari YAPEIM dapat memberikan keselesaan, ketenangan dan keceriaan kepada penerima manfaat selepas memperoleh kediaman yang lebih selesa daripada sumbangan masyarakat yang disalurkan kepada Tabung Amanah YAPEIM.
Sejak dilancar pada tahun 2020 sehingga Mac 2026, Program Sinar Lestari YAPEIM telah membelanjakan RM17.02 juta membabitkan 374 buah projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara. Sebanyak 228 projek baik pulih dan 146 projek bina baharu telah dilaksanakan dengan 268 projek telah siap sementara baki 106 projek sedang dalam proses pembinaan.







