Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 Peringkat Kebangsaan dilancar

Hulu Selangor, 17 Mac 2026 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr Zulkifli bin Hasan telah menyempurnakan Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 Peringkat Kebangsaan di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor, hari ini.

Beliau turut berbesar hati menyerahkan sumbangan kepada 500 pelajar dan sumbangan bantuan infra kepada 17 institusi pada majlis berkenaan. Secara keseluruhan sumbangan bantuan pada hari ini berjumlah RM147,800 termasuk kos penganjuran berbuka puasa, moreh dan lain-lain kos pentadbiran.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu YB Puan Pang Sock Tao; Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan pengurusan utama YAPEIM.

Secara keseluruhan YAPEIM menerusi penganjuran Ramadan MADANI YAPEIM 2026 telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.34 juta yang memanfaatkan lebih 42,000 masyarakat memerlukan di seluruh negara.

Penganjuran Ramadan MADANI YAPEIM 2026 yang melibatkan 31 lokasi program di seluruh negara telah bermula pada 25 Februari lalu di negeri Sabah sebelum penganjuran lokasi terakhir yang juga penganjuran peringkat kebangsaan dilangsungkan di Serendah.

Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 merupakan inisiatif tahunan YAPEIM yang dirangka selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memberdaya kesejahteraan masyarakat serta menyuburkan budaya ihsan, kepedulian dan tanggungjawab sosial di samping usaha bersepadu YAPEIM dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti teras utama YAPEIM.

Program ini dilaksanakan bagi memastikan inspirasi Ramadan disalurkan secara inklusif kepada golongan sasar seperti pelajar, keluarga yang memerlukan, serta institusi masyarakat yang menjadi pemangkin pembangunan ummah.