YAPEIM dan Cagamas Berhad Serah Rumah Bernilai RM85,284 di Pasir Puteh

Alhamdulillah, hari ini menjadi detik bersejarah buat Puan Siti Rubiah binti Jusoh apabila beliau secara rasmi menerima kediaman bina baharu bernilai RM85,284 di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.

Inisiatif di bawah Program Sinar Lestari YAPEIM ini merupakan hasil kerjasama strategik bersama Cagamas Berhad dalam usaha menyediakan tempat tinggal yang lebih kondusif dan selamat buat golongan yang memerlukan.

Puan Siti Rubiah merupakan seorang terapis urut yang tergolong dalam kumpulan B40 dan telah dikenal pasti oleh pihak JAHEAIK bagi menerima bantuan ini.

Proses pembinaan rumah tersebut telah bermula pada Julai 2025 dan berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh hanya tiga bulan.

Kehadiran rumah baharu ini bukan sekadar menyediakan bumbung untuk berteduh malah ia menjadi pemangkin kepada peningkatan kesejahteraan dan keselesaan hidup beliau sekeluarga.

Sehingga Disember 2025, Program Sinar Lestari (dahulunya MyHAUS) telah memperuntukkan sebanyak RM16.44 juta yang melibatkan 356 buah projek bina baharu dan baik pulih di seluruh negara.

Di negeri Kelantan sahaja, YAPEIM telah melaksanakan sebanyak 49 projek dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2.4 juta.

Ini membuktikan komitmen berterusan YAPEIM dalam menyalurkan sumbangan masyarakat melalui Tabung Amanah YAPEIM ke landasan yang tepat.

Secara keseluruhannya, YAPEIM tetap teguh dengan visinya untuk membina semula harapan masyarakat.

Sejak tahun 1985, lebih daripada RM725 juta telah diagihkan kepada 10.1 juta penerima manfaat merangkumi pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.

Semoga usaha murni ini terus memberi sinar baharu dan keceriaan kepada lebih banyak keluarga di luar sana.